• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terima Kasih Kerajaan Terengganu - ILMAM

KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kecaknaan terhadap mahasiswa Islam di Timur Tengah dengan membina asrama baru di Hayyu Sabik.

Yang Dipertua ILMAM Negeri Terengganu, Mohd Ridzuan Mahmud berkata, pihaknya memandang perkara tersebut sebagai satu usaha yang sangat tepat kerana kos penempatan pada ketika ini sangat membebankan pelajar di sana ekoran kenaikan sewa rumah yang sangat tinggi. 

"Sekalung syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan, dan Pendidikan Tinggi Negeri Terengganu, Satiful Bahri Mamat dan Yayasan Terengganu.

"Selaku ALUMNI Mesir, kami sangat memahami peranan asrama Terengganu yang banyak membantu kami dalam memberikan khidmat kebajikan kepada pelajar dalam menyediakan prasarana yang sangat memberi keselesaan kepada pelajar," ujarnya dal satu kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd Ridzuan, selain tempat kediaman, ia juga berfungsi sebagai medan  menghubung dan mengeratkan hubungan sesama pelajar.

"Kami juga menaruh harapan yang sangat tinggi kepada pihak Kerajaan Negeri agar memberikan perhatian  yang berterusan kepada mahasiswa- mahasiswa Mesir khususnya bantuan kewangan dan peluang pekerjaan yang lebih luas selepas mereka tamat belajar nanti.

"Mereka ini adalah aset negeri apabila pulang ke tanah air samada dalam bidang  pengajian Islam mahupun Sains Kesihatan," ujarnya.