• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

DUNGUN, 8 April- Sekitar RM130,000 hasil sumbangan orang ramai berjaya diagihkan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pemuda Bersamamu kepada golongan memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, sepanjang Ramadan ini.

Pengarah Program Pemuda Bersamamu 2024, Muhammad Abdullah merakamkan rasa terima kasih kepada para penyumbang yang membantu menjayakan program bantuan yang diadakan setiap bulan Ramadan.

"Tahun 2024 ini, bermakna hampir 20 tahun Pemuda Bersamamu aktif mencari dana untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

"Pada tahun ini kita telah dapat mengumpul dana sebanyak RM 131, 000 hasil sumbangan daripada dermawan - dermawan dari dalam dan luar negeri.

"Jutaan terima kasih kepada seluruh penyumbang yang sudi kongsikan rezeki anda kepada mereka yang memerlukan dan semoga Allah SWT melimpahkan keluasan rezeki kalian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Pemuda Bersamamu yang ke 20 tahun, pada Sabtu.

Ditubuhkan pada tahun 2005, Pemuda Bersamamu mengorak langkah dengan menyasarkan aktiviti kebajikan berupa bantuan barangan keperluan dan bantuan tunai.

Tambahnya, seramai 340 orang penerima daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), individu tiada punca pendapatan dan mereka yang hilang punca pencarian menjadi sasaran agihan bantuan daripada pihaknya.

"Kelmarin, kami telah selesai agihkan kepada mereka di sekitar kawasan DUN Sura, Dungun dengan menghantar terus ke rumah masing - masing bagi memudahkan urusan mereka.

"Semoga dengan sedikit bantuan dan sumbangan ini dapat mengurangkan beban mereka menjelang Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi," katanya.

Menurut Muhammad lagi, usaha Pemuda Bersamamu juga mendapat sokongan wakil rakyat tempatan apabila Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli hadir merasmikan program diadakan 

Turut hadir bersama pada program berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Mohd Fauzi dan ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.


Tag: