• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Terima Kunci Rumah Selepas Penantian 10 Tahun

KUALA NERUS, 26 September - Seramai 160 buah keluarga di Pulau Redang menzahirkan kesyukuran apabila menerima kunci Rumah Pangsa Mesra Rakyat (RPMM) Pulau Redang setelah penantian lebih 10 tahun. 

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menyempurnakan penyerahan replika kunci merakamkan penghargaan buat semua pihak terlibat hingga mampu menyiapkan projek tersebut.

“Saya ingat ketika 2018 sebelum Monsun Timur Laut, saya datang bagi melihat sendiri projek ini dan saya kira memang kena cari jalan untuk diteruskan sehingga siap.

“Lagi lama (RPMM) tidak siap, bukan sahaja bangunan makin rosak bahkan lagi sukar buat kontraktor ingin baikpulih jika barang sedia ada hilang. 

“Maka kita (kerajaan negeri) berbincang dengan bahagian perumahan bagi mencari jalan untuk siapkan  juga, Alhamdulillah seperti kita lihat hari ini akhirnya siap,” katanya dalam Majlis Penyerahan Kunci RPMM Pulau Redang, di sini pagi tadi. 
 

Turut hadir Pegawai Penyelaras Parlimen Kuala Nerus, Sukrimun Shamsudin dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.

Dalam masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak menyatakan bahawa RPMM Pulau Redang mula dibina sejak April 2012.

“Mengikut perancangan asal siap dalam 65 minggu selepas pembinaan, bermakna Julai 2013 sepatutnya 160 keluarga sudah dapat berpindah ke sini.

“Namun dengan kekangan proses pembinaan yang berlaku, kerajaan berusaha sehabis baik bagi selesaikan kemelut ini,” ujarnya

Kata Dr Alias lagi, kos projek RPMM Pulau Redang berjumlah RM28.5 juta itu melibatkan lima tingkat empat unit blok dengan keluasan 750 kaki persegi jenis A.

“Dengan inisiatif kerajaan negeri, pembeli akan membayar dengan harga RM68,000 sahaja melalui subsidi kerajaan bernilai RM98,000 seunit,” tambahnya.


Tag: