• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KEMAMAN, 15 Mac – Rakyat tempatan digalakkan menerokai khazanah alam semula jadi serta kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di Taman Negeri Terengganu.

Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman berkata, dua taman negeri iaitu Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands) dan Taman Negeri Kenyir mempunyai keunikan tersendiri.

“Contohnya seperti Setiu Wetlands yang mempunyai sembilan ekosistem semula jadi dengan keluasan 1596 hektar, semua ini boleh dilihat dan dihayati di Boardwalk Setiu.

“Di Kenyir pula dengan keluasan 30,000 hektar adalah kaya dengan hidupan liar, ikan dan flora berbagai jenis, sesuai untuk aktiviti lasak dan hiking.

“Tujuan pihak kami melalui program ini adalah mendedahkan masyarakat kepada khazanah dalam negeri kita melalui edaran risalah dan penerangan tentang Taman Negeri tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program kembara Kenali Taman Negeri Terengganu, di Mesra Mall Kemasik, tengah hari tadi.

Terdahulu, program pelepasan kembara tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Zahari Md. Azahar di Wisma Darul Iman, pagi tadi.

Turut hadir, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Mengulas lanjut mengenai program kembara tersebut, Tengku Mohd Ariffin memaklumkan, konvoi motosikal dengan 40 penunggang terlibat dalam usaha mempromosikan eko pelancongan negeri.

“Bersama saya juga terdiri daripada Jabatan Pelancongan Negeri dan KPDNHEP turut sertai dalam kerja penerangan melalui edaran risalah masing-masing kepada komuniti di Pasar Marang, Pasar Dungun, Mesra Mall dan seterusnya di Bandar Kemaman.

“Sambutan daripada daerah setakat ini positif, seterusnya kita akan menjelajah ke Hulu Terengganu, Setiu dan Besut dalam usaha mempromosikan Taman Negeri Terengganu dalam usaha memperkasakan kesedaran masyarakat terhadap tempat tersebut,” jelasnya.

Kembara tersebut diadakan dalam suasana sederhana berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan Taman Negeri Terengganu boleh didapati di laman web www.mptn.terengganu.gov.my berkenaan waktu operasi dan harga kemasukan.