• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

TESDEC Akan Dijenamakan Sebagai 'Terengganu Skills'

KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) bakal dijenamakan sebagai 'Terengganu Skills'dalam masa terdekat.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC Berhad, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu akan memberi semangat baharu kepada warga kerja sekali gus mampu melahirkan graduan yang proaktif.

"TESDEC terus berperanan menjadi pusat latihan berkualiti dan melahirkan graduan berdaya saing dan kompetetif di peringkat global dengan menawarkan program yang 'employability' dan 'marketability dalam pelbagai bidang kemahiran dan teknikal sama ada peringkat sijil dan diploma.

"Semua kursus yang dijalankan mendapat kelulusan akreditasi daripada MQA (Agensi Kelayakan Malaysia), saya juga yakin dan percaya bahawa tidak mustahil untuk ia menjadi sebuah kolej kemahiran yang berprestij pada masa hadapan," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri,berkata demikian ketika berucap Pada Majlis Konvokesyen Ke-4 Dan Pelancaran Jubli Perak TESDEC, di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini pada hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC Sendirian Berhad, Sulaiman Sulong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Mohd Iskandar Muhammad Aziz dan Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej Tesdec, Prof Madya Dr.Berhanuddin Abdullah.

Pada majlis berkenaan seramai 126 graduan dianugerahkan sijil serta seramai 11 graduan telah dianugerakan sebagai graduan terbaik dalam pelbagai bidang dan kursus yang ditawarkan oleh kolej terbabit.

Sejak ditubuhkan sehingga Januari 2022, TESDEC telah berjaya melatih lebih daripada 37,000 orang pelatih dalam pelbagai bidang latihan yang dianjurkan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja bukan sahaja di dalam negara bahkan ke luar negara.

Dalam pada itu, Sulaiman pula bangga dengan graduan yang telah berjaya menghabiskan pengajian dalam tempoh ditetapkan.

"Mereka kini merupakan sebahagian daripada alumni yang telah dilahirkan oleh institusi ini sejak 1996. TESDEC sesungguhnya amat berbangga dengan para pencapaian alumninya yang kini telah berjaya dalam kerjaya masing-masing. 

"Pada hari ini juga merupakan hari yang bertuah kepada warganya dengan menyambut pelancaran Jubli Perak bersempena 25 tahun penubuhannya, saya yakin dan percaya dalam tempoh tersebut banyak perkara ditempuhi oleh warga kerjayanya bagi melahirkan graduan yang berkualiti tinggi, sehingga menjadikan ia rebutan kepada pelajar lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) khususnya anak pelajar Terengganu.

"Jadi tidak hairanlan, institusi yang dimiliki kerajaan negeri ini akan menjadi sinonim dengan kemahiran dan akan dikenali di seluruh negeri mahupun negara," ujarnya.


Tag: