• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

TESDEC Tawar Diploma Pelancongan, Haji Dan Umrah

KUALA TERENGGANU, 5 Mac- Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) menawarkan program pengajian akademik terbaharu iaitu Diploma Pelancongan, Haji dan Umrah khusus untuk pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC Berhad, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata ia bagi memenuhi keperluan dalam industri pelancongan secara khusus sekali gus mampu mencapai standard yang tinggi dalam bidang pengurusan pelancongan Islam dan juga operasi penerbangan.

"Fokus pembelajaran program ini memberi pendedahan kepada konsep ibadah haji dan umah termasuk menguruskan jemaah bagi melaksanakan ibadat berkenaan dan juga mengendalikan agensi-agensi umrah, pengajiannya akan mengambil masa selama tiga tahun.

"Insya-Allah dengan adanya program seperti ini membolehkan TESDEC melahirkan graduan 'multi skill' yang berkebolehan tinggi hingga mampu menembusi pasaran luar negara," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Konvensyen Ke-4 dan Pelancaran Jubli Perak TESDEC, di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC, Sulaiman Sulong, Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Mohd Iskandar Muhammad Aziz, dan Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej TESDEC, Prof. Madya Dr. Berhanuddin Abdullah.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata dengan penawaran kursus baharu ia membuktikan bahawa TESDEC telah diterima dan terus relevan untuk dijadikan pilhan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

"Kewujudan institusi ini telah dirasai oleh para belia dan beliawanis di Terengganu ini khususnya sebagai pemangkin kemajuan dan kejayaan generasi akan datang melalui setiap latihan yang ditawarkan.

"TESDEC telah melahirkan puluhan ribu graduan daripada pelbagai disiplin ilmu yang telah berkhidmat dan berbakti dalam pelbagai bidang kerjaya di seluruh pelusuk negeri," ujarnya.

Selain dari program pengajian akademik yang akan diperkenalkan itu, pada tahun ini beberapa kursus latihan kemahiran akan turut ditawar membabitkan, Pendawaian Tiga Fasa dengan Endorsan (PW4) dan Chargeman A0.

Manakala 19 kursus baharu untuk jangka pendek turut ditawarkan, antaranya Pengurusan Bengkel Automotif, Jahitan Baju Melayu, Jubah/Blous, Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan pekerja, Penyelenggaraan Pendawaian & Peralatan Elektrik, Asas Pentadbiran dan Pengurusan Tanah, Certified Fiber Optic Technician, Kauseling-Tekanan Menghadapi Tekanan.

Selain itu,turut ditawarkan Latihan Pengendali Makanan, Penyelenggaran Kenderaan, Asas Gunting Rambut, Asas Pengendalian Drone dan pelbagai lagi kursus bagi menjamin masa hadapan pelatih untuk memperolehi pekerjaan serta menerima pendapatan yang sesuai dengan situasi pada masa kini.

 


Tag: