• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

TESDEC Terengganu Pusat Servis BCM Pertama Di Pantai Timur

Wan Sukairi (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian denagan Donald Choo.
PETALING JAYA, 16 Mac - Kolej Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) mencipta sejarah baharu apabila menjadi pusat servis pertama di Pantai Timur bagi kenderaan keluaran Berjaya China Motors (BCM).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu merupakan inisiatif terkini TESDEC setelah menjalinkan hubungan kerjasama pintar (Smart Partnership) bersama PROTON sebelum ini.

“Saya dimaklumkan pihak BCM berpuas hati dengan kelengkapan yang ada di bengkel automotif TESDEC selepas melakukan beberapa lawatan dan penelitian.

“Insya-Allah, sekiranya semua berjalan lancar, perkongsian kemudahan dan prasarana tersebut akan memanfaatkan kedua-dua pihak untuk kemajuan TESDEC melalui teknologi yang ada pada BCM,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatanganii Memorandum Persefahaman (MoU) antara TESDEC dan BCM di Pejabat BCM di sini baru-baru ini.

Wan Sukairi yakin kerjasama itu akan memangkin perkembangan pelajar TESDEC.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif BCM, Datuk Donald Choo Keng Kit, Pengarah BCM, Dato’ Amer Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Dato’ Kamaru Al-Amin Ismail.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah TESDEC mengatakan, pihaknya melalui unit akademik akan turut mempertimbangkan untuk memasukkan teknologi yang ditawarkan BCM ke dalam silibus pembelajaran TESDEC.

“Usaha ini akan membantu TESDEC menghadapi cabaran utama 2020 iaitu untuk mewujudkan ekosistem yang mampu melahirkan tenaga mahir cekap, dinamik serta seiring keperluan zaman.

“Saya turut berharap semoga perjanjian persefahaman ini akan dikembangkan lagi meliputi program pelaksanaan latihan industri dan ‘On Job Training’.

“Sekali gus memastikan 100 peratus para graduan TESDEC memperoleh peluang pekerjaan dalam bidang automotif dan bidang berkaitan pembuatan automotif,” tambah beliau.



Tag: