• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tetap Berniaga Demi Keperluan Mangsa Banjir

HULU TERENGGANU, 19 Disember - Seorang suri rumah tetap berniaga ikan dan sayur di lokasi banjir bagi membantu penduduk yang terkandas.

Raja Anisah Raja Bongsu, 46, sanggup membuka gerai berhadapan rumahnya walaupun digenangi air hampir paras lutut susulan hujan lebat berterusan sejak Khamis lepas.

Katanya, ini kerana ramai penduduk sukar untuk mendapatkan bekalan makanan akibat bencana itu.

"Hampir 50 kilogram bekalan ikan dibekalkan setiap hari di samping sayur-sayuran dan barangan keperluan lain.

"Saya jual ikan ni sebab nak mudahkan orang kampung dapatkan bekalan ikan segar walaupun mereka terkandas kerana ramai penduduk yang keluar meredah air banjir untuk membeli ikan.

"Ikan yang saya jual ini adalah ikan segar seperti Selar, Kembung, Kerisi dan Selayang yang dibawa dari Kuala Terengganu. Saya menjual ikan dengan harga berpatutan dari RM10 hingga RM17 bergantung kepada jenis ikan,"ujarnya.

Dia yang bermula berniaga di lokasi berkenaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut dibantu tiga anaknya yang berusia 25 hingga 29 tahun.

"Malah, pelanggan gembira dengan tindakan saya kerana memudahkan mereka untuk mendapat bekalan makanan ketika waktu ini," katanya.