• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

TFC Dijangka Kurangkan Pemain Import

KUALA NERUS, 14 Disember - Pasukan Terengganu FC (TFC) mahu mengurangkan pengambilan pemain import dalam mengharungi kancah bola sepak musim hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, perkara itu diputuskan sebagai langkah penjimatan.

"Tahun ini sembilan, tahun hadapan kita jangka lima (pemain import) sahaja bergantung kepada pandangan jurulatih dan bajet.

"(Mengenai) berapa ramai (pemain) yang akan dikekalkan (nanti). kita tidak boleh memberikan maklum balas lagi untuk masa ini. Insya-Allah kita akan maklum dari semasa ke semasa mengenai pelepasan dan kemasukan pemain," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Exclusive Meet and Greet With World Championship FIM Mini GP 2023, di Litar Permotorang Gong Badak, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata tiada rombakan besar akan dilakukan TFC kerana telah memiliki asas yang kukuh.

"Hanya perlu masukkan beberapa pemain import, insya-Allah progresnya sedang berjalan," ujarnya.

Mengenai jurulatih pula katanya, keputusan telah dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah TFC pada 14 November yang lalu bagi mengekalkan Tomislav Steinbruckner sebagai pengendali skuad penyu.

Manakala desas desus mengenai kemasukan Safawi Rashid ke pasukan Terengganu pula, Hishamuddin berkata perkara itu akan terjawab apabila kenyataan rasmi dikeluarkan nanti.