• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

TGV Mesra Mall, Laksanakan Tempat Duduk Asing Bagi Lelaki Dan Perempuan Bermula 3 September

 


KUALA TERENGGANU, 5 September - Pawagam TGV Mesra Mall di Kemaman menjadi pawagam kedua
selepas Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang melaksanakan zon pengasingan tempat duduk mengikut jantina bukan mahram dan keluarga.

Pengasingan ini bermula 3 September 2020 dan berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan.

Perkara itu dikongsikan pemilik rangkaian pawagam di Malaysia itu melalui status yang dimuat naik di laman Facebook rasminya baru-baru ini.

Menurut kenyataan tersebut, peraturan pengasingan itu dibuat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

“Pelaksanaan ini hanya akan dikuatkuasakan di lokasi ini sahaja, kami berharap anda dapat mematuhi segala syarat-syarat dan kerjasama anda amat dihargai,” katanya dalam hantaran itu.

Dalam masa yang sama, TGV Cinemas masih mengamalkan SOP yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan seperti penjarakan fizikal dengan jarak satu kerusi.

Berdasarkan garis panduan itu, penonton beragama Islam yang bukan suami isteri atau adik-beradik tidak dibenarkan duduk bersebelahan.

Kedudukan penonton diasingkan mengikut indikasi warna dengan zon wanita berwarna merah jambu, zon lelaki (biru) manakala zon keluarga yang meliputi pasangan suami isteri atau mahram (kuninh).

Individu atau pasangan yang berkeluarga pula akan ditentukan menerusi kad nikah atau dokumen berkaitan pernikahan yang dikemukakan kepada staf bertugas.

Sekiranya ada penonton individu, kumpulan atau keluarga yang tersilap membeli tiket tanpa mengetahui penguatkuasaan pelaksanaan pengasingan tempat duduk itu, TGV Cinemas akan berusaha membantu namun, penukaran tempat duduk bergantung kepada kekosongan justeru  orang ramai diminta menyemak terlebih dahulu sebelum membuat pembelian tiket.

Terdahulu, LFS Cinemas Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga (PB) Sentral menjadi pawagam pertama melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga bermula 3 Julai lalu.

 


Tag: