• 13 Apr 2024 | 4 Syawal 1445

Thailand Sedia Kongsi Kepakaran Cantuman Anak Pokok

KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Beberapa pengusaha tapak semaian (nurseri) di wilayah Narathiwat, Thailand sedia membantu kerajaan Terengganu dengan memberi khidmat nasihat serta berkongsi kepakaran mengenai kaedah cantuman anak pokok yang betul.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan kesudian kerjasama tersebut memandangkan industri anak pokok semaian mampu memberikan pulangan ekonomi yang sangat memberangsangkan.

Katanya, anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) diberi kepercayaan untuk menguruskan tujuh projek agro makanan bernilai RM30.44 juta daripada geran dana Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Kementerian Kewangan.

Menurut beliau, kesemua tujuh projek itu kini sedang berjalan mengikut jadual yang telah dirancang dan salah satunya adalah nurseri anak-anak pokok bernilai tinggi yang diusahakan di Kemaman, Setiu dan Marang.

“Industri anak-anak pokok ini terutama anak-anak pokok bernilai tinggi seperti durian Musang King sebenarnya mempunyai potensi yang sangat besar dan memberikan pulangan ekonomi yang sangat baik.

“Dan bila TADC buat nurseri, tentu sekali kita perlu contohi pencapaian negara jiran seperti Thailand yang lebih kehadapan dari segi cantuman anak pokok,” ujarnya ketika bersiaran di TV Darul Iman, semalam.

Mengulas lanjut katanya, dalam lawatan kerja beliau bersama pasukan TADC ke beberapa nurseri di Narathiwat minggu lalu, pengusaha nurseri disana menunjukkan reaksi positif untuk menjalin kerjasama pintar antara kedua-dua negara.

“Mereka akan kongsi kepakaran untuk bantu kita bagi kita menghasilkan anak-anak pokok yang bernilai tinggi dan sektor ini sebenarnya turut membuka peluang ekonomi kepada rakyat untuk bekalkan anak pokok penanti.

“Dalam masa yang sama, kita ambil pencantum-pencantum yang akan buat proses cantuman mata tunas untuk bekerja bagi membolehkan anak-anak pokok ini dijadikan tanaman buah-buahan bernilai tinggi,” jelasnya.