• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

T-HRDC Atasi Kadar Pengangguran

KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (T-HRDC) yang ditubuhkan lebih setahun lalu dijangka mampu mengurangkan kadar pengangguran secara berperingkat-peringkat. 

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sejak  tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu jumlah pengangguran di Terengganu semakin bertambah, selain ada antaranya yang dibuang kerja.

Katanya, kerajaan sedar keadaan itu dan sudah mengambil pelbagai inisiatif  bagi menanganinya secara berkesan.

"Antaranya menubuhkan T-HRDC di mana berfungsi sebagai platform kerjasama, khususnya kepada dua institusi utama iaitu majikan yang mencari pekerja dan institusi latihan yang mengeluarkan pelatih. Job matching tidak wujud kerana kita bergerak secara solo.

“T-HRDC menyeru untuk agensi-agensi terlibat menyelaraskan data untuk mengatasi isu tersebut agar penyelesaian yang dihasratkan tercapai secara optimum bagi membantu rakyat Terengganu,” katanya ketika bersiaran di TVDI.

Menurutnya, sebagai usaha berterusan, kerajaan negeri telah mengadakan kolaborasi erat bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Terengganu bagi membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan ekoran COVID-19.

"T-HRDC juga membantu majikan mendapatkan pelbagai insentif  pakej Perlindugan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi membolehkan mereka mengambil pekerja baru disamping mengelak mereka daripada membuang pekerja sedia ada.

“Selain membantu institusi latihan mendapatkan penempatan kerja dan dana latihan melalui kerjasama dengan majikan dan persatuan industri,” ujarnya.

Menurut beliau, setakat ini kerajaan negeri melalui T-HRDC telah menjalinkan kolaborasi dengan lebih 20 agensi antaranya PERKESO, Jabatan Tenaga Kerja, Jobs Msia, Jabatan Statistik Malaysia, UC TATI, TESDEC,  KKYT, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) serta Terengganu O&G Council ( TOGC).

Katanya, sebanyak 500 peluang pekerjaan juga telah dikenal pasti melalui program penempatan pekerjaan yang dijalankan.

"Di mana T-HRDC telah menemui sendiri majikan-majikan yang memerlukan pekerja dan berunding agar mengambil anak-anak Terengganu sebagai pekerja," tambah beliau.


Tag: