• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

THT Akhiri Badi, Rangkul Piala Sumbangsih


KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Kejayaan Pasukan Hoki Terengganu (THT) menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-1 dalam penentuan 'shoot-out' selepas aksi 60 minit berkesudahan seri 2-2, mengangkat THT selaku juara Piala Sumbangsih 2019 yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata bagi saingan TNB Liga Hoki Malaysia 2019.

Tiga jaringan 'shoot-out' pasukan THT adalah hasil sumbangan Faizal Saari, Jang Jonghyun dan Mohd Fitri Saari sementara gol tunggal UniKL pada penentuan 'shoot-out' dijaringkan oleh Rafizul Ezry Mustafa.

Dalam aksi 60 minit, THT berjaya untuk membuka tirai jaringan seawal minit kedua apabila kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki berjaya digunakan dengan sebaiknya oleh Faizal Saari yang melakukan satu 'flik' terus di sebelah bawah kiri pintu gol UniKL untuk menewaskan penjaga gol UniKL, Adrian Andy Albert.


Beberapa saat sebelum aksi suku pertama berakhir, THT sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan kali ini pemain import Korea Selatan mereka, Jang Jonghyun bijak menggunakan kelebihan tersebut untuk THT terus berada di hadapan 2-0 menerusi satu flik terus mencari sudut atas sebelah kanan pintu gol UniKL.

UniKL cuba untuk bangkit mengejar kedudukan pada suku kedua dengan melakukan beberapa percubaan dan akhirnya sebelum aksi separuh masa pertama tamat, UniKL mendapat pukulan sudut penalti pertama dan Muhammad Razie Abdul Rahim tidak mempersiakan kesempatan yang dimiliki untuk menjadikan kedudukan 1-2 menerusi 'flik' terus di sudut bawah kiri pintu gol THT sekali gus menutup aksi separuh masa pertama.


Lima minit selepas aksi suku ketiga bermula, UniKL dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan Razie Rahim sekali lagi bertindak cemerlang menyudahkan kelebihan tersebut dengan melakukan satu 'flik'.

Minit ke-55 THT dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti ketiga namun kali ini 'flik' yang dilakukan Jang Jonghyun berjaya ditampan oleh Mohamad Sukri Abdul Mutalib dan THT terlepas peluang terbaik untuk kembali berada di hadapan.

Kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sempena perlawanan merebut Piala Sumbangsih, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyumbangkan RM5,000 kepada Rumah Ehsan Dungun.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

SUMBER: MALAYSIAN HOCKEY CONFEDERATION

Tag: