• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

THT Mampu Bergelar Juara Liga Esok

KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Pasukan Hoki Terengganu (THT) mampu bergelar juara Liga Hoki Malaysia (MHL) jika berjaya memungut tiga mata dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tewas atau seri dalam perlawanan terakhir esok (Khamis).

THT kini berada di kedudukan kedua liga yang hanya ketinggalan satu mata berbanding pendahulu liga, UniKL dengan 16 mata.

Dalam perlawanan kelima kelmarin, THT terus menghimpit UniKL selepas melakar kemenangan 6-1 ke atas Nurinsafi HT/Sports.

Ketua Jurulatih THT, K Rajan berkata, pasukannya mengharapkan tuah memihak sepenuhnya kepada Maybank bagi perlawanan bertemu pendahulu liga UniKL.

“Keputusan perlawanan penentuan di antara UniKL bertemu Maybank menjadi penentu buat THT.

“Jika kedua-dua pasukan ini terikat seri, kita hanya perlu menang dengan TNB untuk menjadi juara liga. Itu sasaran kita,” ujarnya.

Namun, keupayaan TNB tidak seharusnya dipandang mudah kerana berdasarkan keputusan perlawanan terdahulu pasukan itu mampu mengikat Maybank 1-1 dalam saingan terdahulu.

Perlawanan THT menentang TNB akan bermula pada jam 8 malam dan disiarkan secara langsung di RTM Sport.

Manakala, sebelumnya, pada pukul 6 petang, UniKL dijadualkan bertemu Maybank.


 


Tag: