• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tiada Kematian Di UK Bukti Program Vaksin Skala Besar Berkesan

KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Kejayaan United Kingdom (UK) yang tidak merekodkan sebarang kematian akibat COVID-19 sejak beberapa hari lalu merupakan bukti keberkesanan program vaksinasi besar-besaran.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kejayaan itu turut memberi keyakinan bahawa vaksin dapat meningkatkan imuniti seseorang individu dalam melawan wabak berkenaan.

Jelasnya, disebabkan itu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) perlu dijayakan dengan kerjasama rakyat negara ini.

“Saya dapati data yang kita peroleh dari UK menunjukkan program vaksinasi berjaya catat sifar kematian. Ini memberi kita semangat untuk melaksanakan program pemberian vaksin pada skala besar.

“Disebabkan itu penting untuk kita tingkatkan imuniti dan perlindungan kepada seramai mungkin agar situasi COVID-19 di negara ini tidak sampai ke tahap lebih serius,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru, hari ini.

Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan UK tidak merekodkan sebarang kematian akibat COVID-19 sejak beberapa hari lalu dipercayai selepas pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran di negara berkenaan.

Sehubungan itu, Dr. Adham sekali lagi menegaskan kepentingan masyarakat negara ini untuk beramai-ramai mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin menerusi PICK dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Menerusi PICK fasa pertama, seramai kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan menerima suntikan manakala dalam fasa kedua pula dijangkakan seramai 9.3 juta individu akan disuntik. Program itu kemudian akan diteruskan dalam fasa ketiga di mana dianggarkan seramai lebih 13 juta individu akan disuntik.

“Oleh kerana itu kerajaan mengambil inisiatif menyediakan lebih banyak kemudahan PPV di seluruh negara termasuk PPV Mega, PPV Bergerak, PPV Klinik Kesihatan, PPV Hospital Awam dan lain-lain,” katanya. - Utusan Online.


Tag: