• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tiada Keperluan DUN Terengganu Bentang RUU Lompat Parti

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos- Tiada keperluan bagi Kerajaan Terengganu untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membolehkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen, termasuk Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) bertukar parti dikuat kuasakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pengajian Tinggi dan Pendidikan negeri, Satiful Bahri Mamat memaklumkan, setakat ini kerajaan negeri tidak berhasrat membentangkan RUU berkenaan pada persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) akan datang.

"Di Terengganu hanya terdapat wakil rakyat daripada dua parti iaitu PAS dan Barisan Nasional (BN) sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu 22 daripadanya mewakili PAS, manakala 10 lagi mewakili BN.

"Jadi, kita berpendapat tiada keperluan untuk kerajaan negeri membentangkan RUU Anti Lompat Parti bertujuan meminda Undang-Undang Tubuh negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian dan pelancaran Terengganu Contact Centre (TeCC), yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja di Wisma Darul Iman, hari ini.

Berdasarkan berkemungkinan Kerajaan Terengganu akan mengikut langkah beberapa kerajaan negeri, termasuk Selangor untuk membentangkan RUU itu bagi membolehkan pindaan Undang-Undang Tubuh negeri pada persidangan DUN akan datang, beliau tidak menafikan pembentangan RUU itu akan dilakukan sekiranya terdapat arahan daripada pucuk pimpinan parti di peringkat pusat.

"Tetapi, jika parti di peringkat pusat arahkan agar pindaan RUU ini dibentangkan untuk meminda Undang-Undang Tubuh negeri pada persidangan DUN, kita akan laksanakan," katanya.


Tag: