• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Tiada Keperluan Lanjut Tempoh Pengurangan Diskaun Trafik

DUNGUN, 1 Januari - Polis Diraja Malaysia(PDRM) tidak berhasrat melanjutkan  tempoh tawaran pengurangan pembayaran saman kompaun sebanyak 80 peratus selepas berakhir 31 Disember semalam.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia berikutan sambutan luar biasa orang ramai terhadap pelanjutan tarikh tersebut.

"Peringkat awal, mereka menyerbu kaunter trafik sebelum kita lanjutkan tempoh tawaran dan selepas minggu terakhir, ia mula lenggang.

"Oleh sebab itu, saya percaya kebanyakan daripada mereka telah menyelesaikan hampir ke semua saman termasuk yang tertunggak,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Kampung Jongok Batu, di sini hari ini.

Tambahnya, bermula 9 hingga 31 Disember 2021 sebanyak 8.6 juta notis saman diselesaikan berbanding 12.2 juta yang telah dikeluarkan.

Mengulas mengenai banjir, pihaknya berpuas hati dengan pengurusan bencana itu yang melibatkan pelbagai agensi di negara ini. 

Katanya, segala persiapan dan persediaan yang diatur di peringkat negeri berjalan lancar seperti dirancang. 

Dalam perkembangan sama, Acryl Sani berkata, setakat ini sebanyak 50 kematian direkodkan melibatkan insiden banjir di enam negeri dengan dua lagi masih belum ditemukan yang dilaporkan di Telemong dan Bentong di Pahang.