• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tiada Kes Daging Import Haram Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 23 Disember – Terengganu tidak mencatatkan sebarang kes berkaitan isu daging sejuk beku import haram atau tidak halal berdasarkan pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, kementerian sebelum ini telah mengarahkan pemeriksaan di seluruh negeri bagi mengesan lokasi penghantaran produk haram tersebut.

“Ini adalah tindak balas segera selepas menerima berita tentang kegiatan kartel daging di Johor Bharu, baru-baru ini.

“Setakat ini, hasil pemeriksaan berterusan mendapati tiada isu berbangkit berkaitan dagin import, halal dan sebagainya di Terengganu, boleh dikatakan daging import di sini selamat,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Mengulas isu kenaikan harga bawang, Saharuddin berkata, setakat ini tiada aduan diterima dan belum ada tindakan yang perlu diambil berkenaan perkara tersebut.

“Kebiasaannya ramai pihak merujuk kepada kami tentang mengapa berlaku sesuatu peningkatan harga, kemudian penjelasan akan diberikan bersama sebab peningkatan oleh kementerian sendiri.

“Peningkatan harga bukan bermakna item tersebut tiada di pasaran tetapi kuantitinya terbatas.

“Pihak kerajaan telah mengambil tindakan dalam isu bawang sekarang seperti isu bawang kecil dari India, solusi alternatif diambil adalah membekalkan barangan sama daripada negara lain seperti Pakistan, China, Vietnam dan sebagainya,” katanya.