• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tiada Pasangan Terengganu Terlibat Sindiket Lebai Loh

KUALA TERENGGANU, 18 November - Tiada pasangan di Terengganu yang dikesan terjebak dengan sindiket nikah tanpa tauliah di Thailand atau dikenali sebagai Lebai Loh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) serta pejabat agama daerah mendapati tiada warga negeri yang terlibat sehingga kini.

“Sebaik pembongkaran sindiket nikah tanpa tauliah dibongkar di Kelantan, saya telah mengarahkan semua pegawai agama setiap daerah di negeri ini untuk melakukan siasatan.

“Diharapkan rakyat Terengganu tidak termakan dengan isu dan sikap sebegini yang tidak bertanggungjawab, setakat ini tiada maklumat dibangkitkan pegawai-pegawai daerah.

“Kahwin atas talian juga tidak terlepas kerana perlu mengikuti peraturan dan pendaftaran dibawah JHEAT,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, semalam.

Tambah Mohd Nor, Terengganu antara negeri yang memudahkan perkahwinan menerusi anjuran program Walimatulurus Perdana yang telah diperuntukkan di dalam Bajet 2022 bernilai RM1.2 juta.

“Kita tanggung kos perkahwinan, tiada alasan kerana kita telah memudahkan persiapan buat mereka yang ingin membina rumah tangga,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, Terengganu juga diantara negeri mudah bagi prosedur poligami dengan pegawai Syariah menjadi pemudah cara, bergantung kepada kemampuan suami.

“Bagi ingin mengetahui siapa jurunikah sah, ada senarai jurunikah di seluruh mukim-mukim dan ada label di rumah mereka, semua pegawai agama daerah di pejabat agama daerah juga adalah bertauliah,” tambahnya.