• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tiada Kes Wabak Pertussis Direkodkan di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos – Tiada kes wabak pertussis atau batuk kokol direkodkan berlaku di Terengganu sehingga hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata wabak itu bukanlah penyakit baharu.

Katanya, tetapi ia merupakan penyakit yang kita cegah melalui pengambilan vaksin.

“Kes ini jarang berlaku, setakat ini di Terengganu, walaupun ada wabak di negeri lain tapi kita tiada jangkitan wabak itu.

“Pihaknya akan sentiasa menjalankan pemantauan semasa bagi mengelak penularan penyakit tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah ANMS Peringkat Negeri Terengganu 2023 bertempat di Dataran Shahbandar di sini kelmarin.

Turut hadir, Setiasaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif.

Tambah Kasemani, wabak Influenza di negeri ini juga masih terkawal susulan pemantauan yang sentiasa dijalankan secara mingguan.

“Pesakit yang mempunyai simptom segera dirujuk kepada hospital bagi mengelak penularan kes itu,” ujarnya.

Untuk rekod, pertussis adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis dengan kuman disebarkan melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk dan menjangkiti mulut, hidung dan tekak.

Ia boleh dielakkan dengan pemberian imunisasi yang diberi kepada kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima, dan 18 bulan, dan kanak-kanak yang mendapat pelalian lengkap hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi jika dijangkiti.

 

 

 


Tag: