• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

'Insya-Allah, Tiada Lagi Gangguan Air Tak Berjadual di KT'

KUALA TERENGGANU, 30 April — Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual yang sering berlaku melibatkan tangki Bukit Kecil di sini kini berakhir selepas Loji Rawatan Air (LRA) Losong Pakej berkapasiti 20 JLH mula beroperasi hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts Abdul Karim Endut berkata, pengoperasian loji itu juga memastikan tiada lagi agihan bekalan air secara berjadual (catuan) melibatkan daerah Kuala Terengganu terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri.

“Pihak SATU secara rasminya ingin memaklumkan sebahagian daripada LRA Losong berkapasiti 44 JLH (20 JLH) sudah memulakan operasinya hari ini.

"Dengan bermulanya operasi berkapasiti 20 JLH ini, insya-Allah masalah bekalan air yang sering terjadi di Bukit Kecil akan dapat diatasi dalam jangka masa yang panjang sehingga tahun 2030,” katanya.

Antara loji rawatan air yang baru dibina.

Menurut beliau, pengoperasian LRA Losong Pakej turut dapat meliputi anggaran sehingga 30,000 akaun yang melibatkan tangki Bukit Kecil dan tangki Panji.

"Bekalan berjadual yang dihadapi oleh penduduk selama beberapa tahun kini telah menemui jalan penyelesaian," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, setakat ini pihak SATU berjaya menyiapkan sebahagian operasi LRA.

"20 JLH berjaya disiapkan sebagaimana jadual dan perancangan, insya-Allah separuh lagi dalam proses untuk disiapkan," ujarnya ketika dihubungi.

Pada 2 April lalu, pihak SATU memaklumkan LRA Losong Pakej yang mampu menyelesaikan masalah air di Kuala Terengganu bakal beroperasi pada Mei 2022. 


Tag: