• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tiada Laporan Ayam Dari Thailand, China Tidak Halal

KUALA NERUS, 11 Disember - Tiada sebarang laporan atau pengesahan tentang dakwaan ayam yang diimport dari China dan Thailand tidak halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, isu itu adalah tidak berasas dan sengaja dimainkan pihak tertentu untuk mencetuskan keraguan dalam masyarakat.

Katanya, setiap keratan ayam dan daging yang dieksport ke Malaysia telah dikawal selia oleh Badan Pengesahan Halal Luar Negara dengan mengikuti syarat, piawaian dan prosedur Persijilan Halal Malaysia.

"Tempoh pengiktirafan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masih sah sehingga 31 Disember 2023 masih sah dan diterima oleh kerajaan.

"Sijil halal itu walaupun dikeluarkan oleh negara itu sendiri tetapi ada kolaborasi dengan pihak Halal Malaysia. Kalau didapati ada laporan yang mengatakan ia tidak halal dan sebagainya maka pihak kita akan menyekat segera kemasukan daging tersebut dan berhak untuk membatalkan pensijilan halal tersebut," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, pada Program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli : Musa'adah Asnaf dan Kuliah Khasnya, di Masjid Tok Jembal, di sini pada hari ini.

Justeru Idris menasihatkan orang ramai agar meneliti terlebih dahulu setiap isu yang ditimbulkan dengan bukti dan fakta tepat.

"Tidak boleh dengar begitu sahaja, kalau asas dan buktinya kukuh betul-betul tidak halal maka kita akan ambil tindakan dan ia boleh dibatalkan serta merta," katanya.

 


Tag: