• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tiada Laporan Penganjuran Iftar Di Kawasan Lapang

KUALA TERENGGANU, 2 Mei – Sehingga kini tiada sebarang laporan diterima pihak berkuasa berkenaan penganjuran majlis berbuka puasa di kawasan terbuka dan lapang di negeri ini selepas aktiviti itu dilarang sejak awal Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pihak penguatkuasa akan segera bertindak sekiranya terdapat laporan tentang pelanggaran arahan tersebut.

“Walau bagaimanapun, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di bazar Ramadan masih boleh dipertingkatkan.

“Kesalahan biasanya seperti penjarakan fizikal yang kurang memuaskan kerana faktor ramai pengunjung yang hadir membeli juadah berbuka, tetapi nasihat akan terus diberi manakala kompaun adalah tindakan terakhir sahaja,” katanya ketika ditemubual pemberita.

Sebelum ini, pihak berkuasa negeri tidak membenarkan sebarang aktiviti iftar di kawasan terbuka dan lapang sepanjang Ramadan 2021.

Mengulas mengenai salah faham arahan had umur kanak-kanak bawah 12 tahun, Dr Alias menjawab, larangan tersebut hanya termaktub di bazar Ramadan sahaja.

“Tiada keperluan untuk bawa anak-anak kerana urusan penting adalah hanya untuk membeli atau menjual juadah berbuka, hanya ibu bapa sahaja boleh belikan.

“Ini untuk kita kurangkan penularan COVID-19 di tempat yang sesak kerana risiko jangkitan kepada kanak-kanak adalah tinggi," katanya.

Tambah beliau, had umur kanak-kanak tersebut tidak melibatkan Ekspo jualan pakaian Aidilfitri.

“Salah faham ini timbul kerana had tersebut hanya melibatkan bazar Ramadan dan bukan bagi urusan pembelian pakaian raya,” jelasnya.