• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tiada Permit Niaga Untuk Warga Asing

Sebahagian petugas media bersama pegawai dan kakitangan MBKT yang memeriahkan Majlis Datuk Bandar Bersama Media di Kelab Eksklusif MBKT Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tidak mengeluarkan sebarang permit niaga terhadap warga asing bagi membenarkan golongan itu menjalankan perniagaan di bandar ini.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh berkata, perkara itu jelas menyalahi undang-undang dan peraturan sedia ada pihak berkuasa tempatan.

“Setakat ini, kita tidak pernah meluluskan sebarang permit atau lesen untuk kumpulan warga asing berniaga.

"Kita tidak menolak mungkin ada kes terdapat warga asing menjadi pembantu kedai dan berniaga di kedai yang mana lesen dimiliki oleh isteri di kalangan warga tempatan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena Majlis Datuk Bandar Bersama Media di Kelab Eksklusif MBKT Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.


Samiun menjelaskan, pihaknya juga menawarkan sewa lot premis perniagaan dengan kadar yang murah dan tindakan membatalkan lesen akan dilakukan serta-merta sekiranya warga tempatan itu sendiri didapati bertindak menyewakan lot niaga mereka kepada pihak lain bagi tujuan mengaut keuntungan.

Dalam perkembangan yang sama, katanya, MBKT juga akan terus menjalankan pemantauan terhadap peniaga yang melanggar syarat termasuk kesalahan menyewakan lot perniagaan mereka kepada warga asing.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kes penyalahgunaan lesen perniagaan dan tidak akan memberi peluang kepada mereka yang melakukan kesalahan itu.

Tag: