• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Tiada Pilih Kasih Beri Kelulusan Miliki Rumah

Dr Alias Razak.
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos - Kerajaan negeri menafikan unsur-unsur 'pilih kasih' atau 'kabel' dalam proses kelulusan permohonan memiliki rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, semua pemohon yang layak perlu menjalani proses temuduga dan melalui Jawatankuasa Penimbang Negeri.

"Kita terima banyak permohonan dan tidak dinafikan semua mereka layak.

"Tetapi, sebarang keputusan dibuat berasaskan keperluan, pendapatan isi rumah dan beberapa faktor lain,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan tular di laman sosial mempersoalkan ketelusan kerajaan negeri dalam memberi kelulusan permohonan memiliki rumah.

Dr. Alias turut menegaskan, tiada sebarang campur tangan ahli politik dalam menentukan keputusan permohonan.

"Kami tidak terlibat langsung dengan jawatankuasa penimbang, malah saya sendiri menyerahkan semua kuasa membuat keputusan kepada mereka.

Semua kelulusan berasaskan kelayakan pemohon di mana siapa yang paling layak terima kita akan beri," jelasnya.

Menurut beliau, kelulusan permohonan rumah bukan sahaja membabitkan kediaman baharu siap dibina, tetapi juga rumah sedia ada yang masih kosong dan siap dibina dua tahun lalu.

"Kerajaan negeri sedang dalam proses menyiapkan perumahan baharu di Kuala Nerus, Kuala Berang dan beberapa lokasi lain.

"Projek ini pula akan siap dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial tentang keluhan segelintir penduduk negeri itu yang mendakwa ada pemohon menerima kelulusan memiliki rumah menggunakan 'kabel’ daripada Exco dan wakil rakyat tanpa melalui proses sepatutnya.


Tag: