• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tiada Urusan Vaksin COVID-19 Swasta Buat Masa Ini

KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Kerajaan Malaysia masih menjadi pengendali utama proses vaksinasi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) manakala perancangan serta dasar pemvaksinan melibatkan sektor swasta masih belum ditentukan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, proses pembelian vaksin adalah di bawah Kerajaan Malaysia kerana ia melibatkan bekalan terhad.

“Jadi boleh dikatakan semua pengeluar vaksin berurusan dengan kerajaan, oleh itu, kami nasihatkan jangan percaya terhadap sebarang pihak yang menyediakan perkhidmatan perubatan demikian.

“Vaksin yang diperoleh kerajaan adalah diyakini dan melalui proses kawalan dan pengawasan ketat oleh Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).

“Kebelakangan ini, ada tular iklan jualan vaksin di platform e-dagang Shopee, jadi masyarakat dinasihatkan supaya berhati-hati dan ikuti saranan kerajaan,” katanya selepas merasmikan Akademi Robotik TD 1303 x Jazro di TD1303, pagi semalam.

Mengulas lanjut mengenai usul agar pihak swasta dibenarkan membeli dan menawarkan suntikan vaksin Covid-19, beliau berkata, keputusan belum dikeluarkan kementerian.

“Namun Ia bukan mustahil, tetapi jika mengikut kerangka PICK, ia mungkin berkemungkinan dapat menimbulkan isu ketidakselarasan,” tambahnya.

Menurut Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, lebih dua juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19, manakala sehingga 5 Mac, kira-kira 112,000 petugas barisan hadapan telah disuntik.