• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Tidak Perlu Pembelian Panik

KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menasihatkan orang ramai agar tidak membuat pembelian panik susulan pengumuman Perdana Menteri esok kerana bekalan barangan keperluan mencukupi.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, pengguna disarankan untuk membeli barangan mengikut keperluan serta tidak menyimpan stok berlebihan di rumah.

“Kerana ia akan mencetuskan pembaziran disebabkan tarikh luput sesuatu barangan yang dibeli tanpa penelitian

“Walau apa pun keputusan yang akan diumumkan oleh pihak Kerajaan (esok), bekalan barangan keperluan harian adalah dijamin mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Saharuddin memaklumkan, pihaknya dengan kekuatan anggota seramai 117 orang Pegawai Penguat Kuasa dan 59 orang Pegawai Pemantau Harga sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang rapi sepanjang masa.

“Langkah itu bagi memastikan keberadaan dan kestabilan harga barang-barang keperluan harian di pasaran. 

“Pada masa yang sama, sejumlah 160 Peruncit Daerah Terpilih atau Dedicated District Retailer (DDR) dan 74 Pemborong Daerah Terpilih atau Dedicated District Wholesaler (DDW) telah dipilih di seluruh Negeri Terengganu sebagai pusat bekalan barangan keperluan asas.

“Pelantikan ini membenarkan DDR dan DDW untuk menyimpan barang kawalan berjadual melebihi 30 peratus daripada had simpanan dalam lesen bagi memastikan tiada gangguan bekalan barangan keperluan asas sepanjang tempoh PKPP dan musim banjir ini,” katanya.


Tag: