• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

’Tidak Pernah Terima Bantuan Sebelum Ini’ - Penerima Pencen Rakyat

KUALA NERUS, 22 Januari – Hampir keseluruhan 797 warga emas yang menerima bantuan kewangan pencen rakyat Terengganu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading melahirkan rasa gembira dan terharu terhadap inisiatif terbaharu kerajaan negeri.

Lijah Ibrahim, 78, yang berasal dari Kampung Banggol Donas menyifatkan, insentif itu dalah suatu usaha yang sangat baik dan membuktikan kecaknaan kerajaan negeri terhadap golongan warga emas sepertinya.

“Makcik tidak pernah dapat sebarang bantuan sebelum ini. Terima kasih kepada kerajaan Negeri Terengganu kerana bantu makcik,” ujarnya ketika ditemubual selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pencen Rakyat Negeri Terengganu Peringkat DUN Buluh Gading di Dewan Sivik Kampung Buluh Gading, baru-baru ini.

Sementara itu, salah seorang penerima yang berasal Kampung Tanjung Sabtu, Wook Embong, 82, menganggap bantuan itu adalah rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Syukur alhamdulillah, ada juga rezeki makcik, boleh lah buat tampung belanja harian,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, pencen rakyat merupakan satu daripada 20 perkara yang disenaraikan dalam manifesto pilihanraya umum lepas.

“Dua manifesto yang belum dapat dilaksanakan iaitu menubuhkan pusat pengajian tinggi menggantikan KUSZA dan membina bandar bestari. Kedua-duanya akan dilaksanakan pada tahun ini.

“Antara yang telah kita berjaya laksanakan adalah caj wad kelas ketiga secara percuma jika dimasukkan ke hospital dan kad sejahtera bagi rawatan pesakit luar,” katanya lagi.

Jelas beliau, satu lagi berita gembira pada tahun ini adalah dana i-fitri yang akan diagihkan untuk menampung kos dan keperluan bagi menghadapi Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

“Jumlah yang dibayar adalah RM400 untuk keluarga B40 yang berpendapatan bawah RM2,500 dan RM250 untuk sebahagian keluarga M40 yang berpendapatan antara RM2,500 dan RM5,000.

“Inilah komitmen Kerajaan Negeri Terengganu untuk membantu dan memberi keselesaan kepada kehidupan rakyatnya,” tambah beliau lagi.


Tag: