• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tidak Serik, Pasangan Kekasih Dicekup Kali Kedua

MARANG, 23 Ogos - Satu pasangan kekasih seolah-olah tidak serik melakukan aktiviti tidak bermoral apabila dicekup buat kali kedua di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Pasangan yang masih dalam perbicaraan kes pertama itu ditahan dalam satu operasi berkala daripada Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar) dengan kerjasama Pegawai Penguatkuasa Syariah Daerah Marang.

Ketua Skuad Amar, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya merasa sangat dukacita atas tangkapan ini, kerana mereka seolah-olah tidak serik atas tindakan yang telah diambil sebelum ini.

"Saya merasakan perlu diambil perhatian khusus terhadap peraturan atau undang-undang kepada pemilik hotel, chalet, rumah tumpangan  yang membenarkan pasangan yang tidak mempunyai ikatan yang sah atau pertalian suami isteri menyewa di premis miliknya.

"Misalnya diadakan satu ketetapan, pasangan yang hendak menyewa perlu memberikan bukti atau kad nikah sebagai syarat untuk menetap di bilik dan premis berkenaan.

"Ini adalah sebagai salah satu langkah yang perlu diambil, bagi mendidik dengan lebih tegas dan mencegah perkara seperti ini berulang.

"Saya juga mengucapkan jutaan penghargaan kepada penyumbang tenaga, wang ringgit dan maklumat yang bersama-sama dalam menjayakan operasi ini yang melibatkan aktiviti dakwah berterusan di kalangan masyarakat dan komuniti," ucapnya.

Mereka ditahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir)(Terengganu) 2001, Seksyen 31, Khalwat apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Pasangan tersebut masing-masing berusia di antara 17 tahun sehingga lewat 20an, bukan berasal daripada daerah sini.

Operasi berkala itu disertai oleh hampir 20 orang yang terdiri daripada sukarelawan Skuad Amar dan Pegawai Penguatkuasa Syariah Daerah Marang.


Tag: