• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Tiga Anak Bukit Besi Juara Silat Kebangsaan

Oleh : Muhammad Amiruddin

DUNGUN, 2 November – Tiga anak kelahiran Bukit Besi telah dinobatkan sebagai juara silat peringkat kebangsaan dalam tiga kategori berbeza. 

Nurin Zawira Mohd Wahab, 12, muncul juara Kebangsaan bagi kategori Seni Tari Silat Puteri manakala Muhammad Syakir Fitri Razali, 13, yang mewakili MRSM Kuala Berang johan Kebangsaan Tari Silat Putera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Muhammad Fakhrul Amin  Samsudin, 11, merangkul Juara Kebangsaan Tunggal Putera.

Menurut Nurin Zawira pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Besi, dia mula berjinak-jinak dengan dunia persilatan ketika berumur tujuh tahun. 

"Ayah dan ibu saya yang banyak memberi galakan dan sokongan menjadikan saya bersungguh-sungguh untuk berlatih," katanya. 

Sementara itu orang yang bertanggungjawab melatih mereka, Ismail Salleh, 49, wasit dan jurulatih peringkat kebangsaan memuji kerjasama yang ditunjukkan oleh ibu bapa dan pihak sekolah juga amat membantu dalam meluaskan seni silat jawi di DUN Bukit Besi. 

“Kepada anak murid saya, saya selalu berpesan kepada mereka, belajar silat bukan untuk menunjuk siapa hebat di depan lawan sebaliknya untuk merapatkan ukhwah dan secara batinnya, " ujarnya yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mail merangkap Ketua Persatuan Seni Silat Jawi Negeri Terengganu yang telah ditubuhkan pada 21 Julai 2003. 

Ghazali menyampaikan cenderahati dan wang tunai kepada Adik Nurin  Zawira sebagai tanda penghargaan diatas kejayaan menjuarai salah satu kategori dalam Pertandingan Silat Kebangsaan. 

Mereka ditemui ketika kunjungan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN),Ghazali Sulaiman ke kediaman masing-masing  di Bukit Besi untuk menyampaikan cenderahati dan sumbangan berupa wang tunai. 

Mengulas lanjut kejayaan mereka itu, Ghazali berkata mereka perlu diberi penghargaan dan sokongan yang konsisten bagi memastikan prestasi cemerlang yang ada dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Saya percaya semangat juang yang dipelajari ketika latihan dan pertandingan silat, berjaya memupuk daya keyakinan dalam diri mereka sama ada di sekolah dan kehidupan seharian. Ia juga mendorong generasi muda untuk menjauhi gejala social seperti penyalahgunaan dadah dan pergaulan yang tidak sihat," katanya. 

Kesemua mereka menyertai Kejohanan Satu Sekolah Satu Silat Peringkat Kebangsaan 2021 yang diadakan secara atas talian.

Kejohanan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Satu Sekolah Satu Silat Persekutuan  Silat Kebangsaan Malaysia(PESAKA Malaysia) dan Bahagian Sukan, Kokurikulm dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia.


Tag: