• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tiga Beradik Antara Kanak-Kanak Terawal Terima Vaksin Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 8 Februari – “Saya tak nak kena Covid-19 sebab bila virus ni jangkit.. tak boleh pergi sekolah, tak boleh jalan-jalan dan badan jadi lemah. Jadi kena cucuk vaksin biar badan kuat,”ujar  Nazeef Audric Kamarul Azhar Zainon, 9 tahun.

Nazeef  yang turut ditemani dua lagi adiknya iaitu Nurlisa Maureen, 6, dan Nazriel Ariqin, 5, tahun mencipta sejarah apabila menjadi antara kanak-kanak terawal di Terengganu yang menerima vaksin Covid-19.

Dia yang merupakan murid di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, mengakui gembira kerana telah berjaya mendapatkan vaksin Covid-19.

“Tak sakit pun, lepas ni badan jadi lebih kuat dan boleh menjalani kehidupan normal bersama rakan-rakan selepas ini,”katanya ketika ditemui pemberita di Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) 5 hingga 12 tahun di Klinik Paediatrik, Kompleks Rawatan Harian, HSNZ di sini hari ini.

Bagi ibu bapa kanak-kanak berkenaan, Kamarul Azhar Zainon, 47 dan Nor Ruziah Ismail, 46, berkata  mereka menyahut baik PICKids yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Menurut Kamarul, suntikan vaksin satu usaha pencegahan dalam melindungi anak ketika situasi pandemik Covid-19 yang terus berlanjutan ketika ini.

Tambahnya, setelah pendaftaran dibuka, dia terus mendaftarkan tiga anak mereka untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di HSNZ.

"Apa yang kerajaan buat adalah untuk kebaikan semua rakyat dan kita jangan tengok dari segi keburukan sahaja.

"Vaksin sebenarnya bagus untuk imuniti kanak-kanak yang mudah dijangkiti seperti dua anak saya yang menghidap asma.Bagi saya baik mengurangkan risiko jangkitan dan kesannya jika dibandingkan dengan mereka yang tidak mengambil suntikan vaksin," ujarnya. 

Suntikan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak yang berusia lima sehingga 11 tahun bermula bulan ini, sejurus selepas ketibaan vaksin Pfizer (kanak-kanak) 31 Januari lalu.