• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Tiga Beradik Hilang Dihanyut Ombak


Oleh: Sulaiman Rusli

DUNGUN, 30 Disember - Tiga beradik dikhuatiri lemas apabila mereka, Nur Ain Fatma Zawawi, 10, Nur Ain Sofea Zawawi, 9, dan Nur Ain Sasabila, 6, dari Kampung Pegal Pisang, Peringat, Kelantan hilang ditarik ombak ketika bermain di tepi Pantai Sura Tengah, petang tadi.

Oleh itu, gerakan mencari dan menyelamat mangsa segera dilakukan pihak berkuasa.

Seorang saksi kejadian memberitahu, dalam kejadian jam 6.40 petang, mangsa ketika itu hanya bermain di gigi air.

"Tiba-tiba datang ombak besar terus menelan dan menghanyutkan ketiga-tiga mangsa," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, di Pantai Teluk Lipat, di sini petang tadi.

Sehubungan itu, Sekretariat Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Dungun, Ramlan Ros Wahid telah mengesahkan kejadian yang berlaku.

"Lebih kurang lepas asar, 6.40 petang mangsa telah dikatakan pergi ke pantai untuk mengambil angin dengan ibu saudaranya.

"Difahamkan ombak terlalu besar dan menarik mangsa ke arah laut, dan kakak yang sulung berumur 10 tahun cuba untuk menyelamatkan adik-adiknya," katanya.

Namun, menurutnya, ombak terlalu kuat dan ketiga-tiga beradik telah dihanyutkan ombak sehingga ke tengah sebelum hilang.

"Kini proses pencarian sedang dijalankan oleh Jambatan Bomba dan Penyelamat," jelasnya.

Sehingga jam 9 malam ini usaha mencari dan menyelamat mangsa masih belum berhasil.


Tag: