• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tiga Beranak Tinggal Sehelai Sepinggang

Oleh: Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris

DUNGUN, 15 Julai - Tiga beranak hilang tempat tinggal apabila rumah mereka di Kampung Bukit Besi di sini musnah dalam kebakaran dipercayai akibat litar pintas.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 10.30 malam pada 11 Julai lepas, keluarga terbabit dianggarkan mengalami kerugian lebih RM85,000 apabila semua barangan di dalam rumah tidak sempat untuk diselamatkan.

Mangsa, Muhammad Nasril Haqim Mohtar, 23, berkata, ketika kejadian dia dan isteri serta anak tiada di rumah.

"Masa tu saya keluar ke Kampung Jerangau kerana ada urusan penting, isteri dan anak pula berada di rumah ayahnya. Dapat panggilan dari jiran dia beritahu rumah saya terbakar," ujarnya kepada pemberita.

Sementara itu, Ketua  Balai Bomba dan Penyelamat AMBS, Zul Husni Abdul Rahman berkata, dua buah jentera bomba dari Balai Bomba AMBS dan Balai Bomba Dungun dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 16 anggota termasuk bantuan daripada penduduk kampung setempat, sebaik menerima panggilan jam 11.41 malam.

Sebaik tiba di lokasi, api didapati sedang marak membakar rumah berkenaan dan kerja pemadaman dilakukan dalam kedaan hujan.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

Musibah yang menimpa keluarga mangsa mendapat perhatian Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli Dan Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turut menziarahi mereka pada keesokan hari kejadian berlaku.

Dalam kunjungan tersebut, Wan Hassan turut menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai untuk meringankan beban keluarga terbabit.


Tag: