• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tiga Bot Nelayan Vietnam Ditenggelam Di Pulau Kapas

KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu menenggelamkan tiga bot nelayan Vietnam yang dirampas untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran perairan Pulau Kapas di sini hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, semua bot tersebut telah ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Gemia dan KM Nusa melalui OP Naga Barat dan OP Kuda Laut yang turut melibatkan penahanan 43 kru termasuk tekong warga Vietnam pada akhir 2021.

“Tiga bot nelayan Vietnam itu ditahan serta dilucuthak oleh mahkamah tahun lepas atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

“Sehingga kini, Maritim Negeri Terengganu telah menenggelamkan 142 bot nelayan asing dengan anggaran nilai RM213 juta, sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan proses penenggelaman itu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim dan Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu, Mohd Ruzaidi Mamat.

Muhammad Suffi menjelaskan lagi ini merupakan pelupusan siri keempat bagi tahun 2022 iaitu sebanyak 40 buah bot masih berada di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Negeri Terengganu, PTV Zon Maritim Kemaman dan PTV Bukit Datu.

"Di samping itu, kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara, menggalakkan biodiversiti marin, meningkatkan sektor pelancongan terutamanya aktiviti rekreasi selam serta simbolik kepada keseriusan Maritim mengekang serta membanteras kemasukan nelayan asing ke perairan negara terutamanya dari Vietnam.

"Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999," jelasnya.

Kesemua bot disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) dan 16(3) Akta Perikanan 1985, memasuki perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran dengan denda sejumlah RM4.16 juta.

Program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Taman Laut serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).


Tag: