Berita :
Tiga Dekad KOPERAT Bantu Rakyat Miliki Kediaman
Tiga Dekad KOPERAT Bantu Rakyat Miliki Kediaman
Adli Mohamad
18 Jun 26
40

MARANG, 18 Jun - Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu (KOPERAT) yang dimiliki Kumpulan Terengganu Inc telah mencapai usia 30 tahun dan terus komited bagi membantu rakyat di negeri ini memiliki kediaman yang selesa, berkualiti dan mampu dimiliki.

Pengerusi KOPERAT, LSr. Zaharuddin Zahid berkata, sepanjang tiga dekad itu lebih 3,274 unit rumah kediaman bercampur telah berjaya dibangunkan di pelbagai lokasi meliputi Daerah Kemaman, Dungun, Marang dan Besut.

"Pencapaian ini bukan sekadar angka, tetapi ia merupakan simbol kepercayaan masyarakat terhadap KOPERAT serta bukti kesungguhan kita dalam membantu rakyat memiliki kediaman.

"Namun begitu, usaha kami tidak terhenti di situ. KOPERAT terus berusaha keras dengan melibatkan pelbagai pihak bagi membina dan menyediakan 766 unit rumah yang sedang dalam fasa pembinaan secara teliti.

"Berkat semangat kerja berpasukan, sokongan warganegara KOPERAT, kepercayaan pelanggan serta komitmen semua pihak, KOPERAT akan terus bergerak maju dan akan kekal relevan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rumah Contoh Taman Koperat Alur Limbat dan Sambutan 30 Tahun Koperat, di sini, hari ini.

Perasmian majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah.

Mengulas lebih lanjut, Zaharuddin berkata majlis yang diadakan pada hari ini sangat bermakna kerana rumah contoh Taman Koperat itu merupakan antara projek terbaru pihaknya dalam menyediakan kediaman yang moden, selesa dan memenuhi kehendak masyarakat.

"Pembinaan di atas tanah seluas 49 ekar ini berjumlah 564 unit rumah termasuk Rumah Mampu Milik (RMM) jenis A dan B, rumah teres satu tingkat komersial jenis c dan rumah berkembar satu tingkat serta rumah kedai dua tingkat.

"Saya percaya projek ini akan menjadi satu lagi mercu tanda kejayaan KOPERAT dalam sektor pembangunan perumahan," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan