• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tiga  Empangan TNB Jadi Tebatan Banjir

KUALA LUMPUR, 12 November - Tiga empangan hidroelektrik Tenaga Nasional Berhad(TNB) di Tasik Kenyir, Terengganu, Cameron Highlands, Pahang dan Sungai Perak, Perak kini diletakkan dalam keadaan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti, berkata pihaknya telah membuat persediaan awal dengan mengurangkan paras air  bagi menampung peningkatan kapasiti air.

"Proses pelepasan air secara terkawal di empangan hidroelektrik TNB dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

"Ketiga-tiga empangan itu kini bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nor Azman berkata, selain menjana elektrik, empangan TNB mempunyai kapasiti menakung air di hulu sungai yang dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hiliran setiap kali musim tengkujuh.

“Ini termasuk beberapa siri taklimat persediaan dan latihan kecemasan di stesen hidroelektrik dan pejabat operasi TNB dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan dan siapsiaga semua pihak di musim tengkujuh,” katanya lagi.

Sementara itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya mengutamakan aspek keselamatan, sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa jika premis mereka dinaiki air.

"Jika ada pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat,"ujar beliau.

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline.