• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tiga Exco Terengganu Bertemu Mata Dengan PERANTAU Perak


Oleh : Suhaimi Taib

IPOH, 25 Ogos – Seramai tiga orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu bertemu mata dengan kira-kira 150 orang ahli Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) di Majlis Ramah Mesra di sebuah hotel di sini semalam.

Exco Kerajaan Negeri itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta Pengerusi Jawatankuasa, Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat.

Mereka bertiga menjawab semua soalan yang dikemukakan oleh ahli PERANTAU termasuk isu berkait dengan kemudahan caravan di destinasi pelancongan bagi menarik pengunjung ke Terengganu.

Cadangan itu dikemukakan seorang ahli PERANTAU berasal dari Besut, dia menyatakan bahawa kerajaan Terengganu perlu menyediakan kemudahan tersebut termasuk punca air dan elektrik di tapak berkenaan bagi manfaat pelancong yang memerlukan kemudahan itu.

“Saya menjadi ahli Persatuan Caravan Malaysia telah melawat negeri Terengganu tetapi saya dapati tidak ada kemudahan disediakan untuk tapak perkhemahan itu sedangkan Terengganu mempunyai banyak tempat menarik,” jelasnya.

Ariffin ketika menjawab soalan berkaitan menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan berusaha mewujudkan tapak berkenaan dan menyediakan kemudahan itu sedikit masa lagi.

Sementara itu, Ariffin turut melancarkan rakan pelancongan Terengganu di majlis yang sama mengajak ahli PERANTAU negeri itu mempromosikan tempat-tempat menarik di Terengganu di negeri tersebut.

Pelancaran rakan pelancongan itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Terengganu.


Tag: