• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tiga Lagi Sekolah Rendah Di Terengganu Ditutup Akibat COVID-19

KUALA TERENGGANU, 26 Januari- Tiga lagi sekolah rendah di negeri ini masing-masing dua di daerah Kuala Terengganu dan satu di  Hulu Terengganu diarah tutup selama tujuh hari bermula semalam, hingga 31 Januari depan kerana terdapat kakitangan sekolah yang disahkan positif COVID-19.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga dan Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga di Kuala Terengganu serta SK Bukit Apit di Hulu Terengganu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan bagi mencegah penularan wabak pandemik di semua sekolah terbabit.

Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengeluarkan surat penutupan tiga sekolah rendah itu kepada Jabatan Pendidikan negeri bagi kawalan perebakan penyakit berjangkit.

“Arahan penutupan sekolah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta kegagalan mematuhi arahan kerja membasmi kuman adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 22 (b) Akta 342.

“Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 24 (a) akta sama boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Dengan notis terbaru itu, sebanyak 15 sekolah rendah iaitu masing-masing 14 di daerah Kuala Terengganu dan satu di daerah Hulu Terengganu ditutup setakat ini susulan kes positif COVID-19.