• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Tiga Loji Baharu Dibina, Atasi Masalah Air

KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Tiga loji baharu yang sedang dalam pembinaan bakal menyelesaikan masalah air yang membelenggu penduduk di daerah ini, Kuala Nerus dan Marang.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ir Atemin Sulong berkata, langkah itu merupakan penyelesaian jangka panjang.

Katanya, bermula Aidilfitri nanti pihaknya menjangkakan rakyat Terengganu tidak lagi menghadapi bekalan air terputus.

"Loji Air Bukit Berapit, Kuala Nerus dan Loji Air Losong (tambahan) yang dibina pada tahun 2016 dijangka siap dan boleh beroperasi beberapa bulan lagi.

"Manakala sebuah lagi iaitu Loji Air Pulau Bahagia dijangka siap dan boleh beroperasi Februari ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Taklimat Gangguan Bekalan Air di Pejabat SATU, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga loji berkenaan berupaya menambah bekalan sebanyak 184 juta liter air sehari (mld) berbanding hanya 282 mld yang mampu dibekalkan oleh Loji Rawatan Air Losong, Loji Rawatan Air Kepong 1 dan Kepong 2 ketika ini.

Atemin berkata, pihaknya juga sedang giat menjalankan kerja-kerja menaik taraf loji serta pembesaran paip, tangki utama dan rumah pam.

Sementara itu, bagi penyelesaian jangka pendek pula, SATU mengambil langkah dengan membuat kerja-kerja catuan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air bersih secara berterusan pada tempoh siang hari.

"Selain itu, kita juga menghantar bantuan bekalan air melalui lori tangki air ke kawasan terjejas.

"Juga, menempatkan tangki-tangki statik ke kawasan yang memerlukan," ujarnya.