• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Tiga Pengunjung Positif COVID-19 Dikesan Di Pasar Payang

KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Terdapat pertambahan kes positif COVID-19 melibatkan tiga orang pengunjung yang berkunjung ke Pasar Besar Kedai Payang, sejak minggu lalu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, namun hasil tindakan pantas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, keputusan saringan peniaga adalah negatif.

“Walau bagaimanapun, kes pengunjung yang didapati positif COVID-19 itu menunjukkan kita sentiasa terdedah dengan risiko jangkitan lebih lebih lagi dengan bilangan pengunjung yang ramai yang pengamalan penjarakan fizikal susah dilaksanakan.

“Oleh itu, saya ingin menyampaikan pesanan agar semua terus mengambil perhatian aspek keselamatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Para pengunjung perlu mendaftar MySejahtera, atau pada buku rekod kemasukan. Ini penting untuk tujuan contact tracing jika berlaku kes,” katanya sebagaimana dilapor Sinar Harian.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, keputusan saringan bersasar kepada 126 peniaga di Pasar Payang mendapati tiada kes positif Koronavirus.

“Risiko jangkitan amat kurang jika semua peniaga dan pengunjung sentiasa mematuhi SOP ketika berurusan jual beli. Ini penting kerana kita tidak tahu status mereka disekeliling.

”Mungkin mereka tiada gejala namun siapa tahu mereka mungkin pembawa virus bukan hanya di Pasar Payang tetapi di semua premis yang ramai pengunjung,” katanya.

Untuk rekod, sehingga Ahad, Terengganu merekodkan pertambahan satu kes sembuh dan lima kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah 16 kes Covid-19 aktif sedang dirawat, menjadikan keseluruhan sebanyak 301 kes di Terengganu.