• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tiga PPS Seberang Takir Tanda Kesiapsiagaan Hadapi Banjir

KUALA NERUS, 9 November – Tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah disediakan di Seberang Takir bagi menempatkan mangsa banjir menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula pada hujung bulan ini.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab ketika membuat tinjauan berkata, persiapan rapi telah dibuat pelbagai pihak dan agensi di ketiga-tiga PPS sebagai persediaan menanti segala kemungkinan.

“Pada tahun ini, logistik sedikit berbeza kerana semua PPS akan menyediakan bilik khas bagi mangsa bergejala atau positif COVID-19.

“Mereka yang terkesan akan dikuarantinkan ke bilik rawatan khas ini atau ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Saya berpuas hati dengan persediaan yang dibuat, terima kasih pihak sekolah yang memberi kerjasama yang baik dalam menghadapi sebarang potensi pada masa hadapan,” ujarnya lagi

Buat guru yang mengendali salah sebuah PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir, Mohd Zuki Muda, persediaannya melibatkan dua buah kelas setakat ini dengan setiap kelas mampu memuatkan sehingga enam buah khemah.

“Kita mengharapkan apabila berlaku nanti, pihak terlibat seperti RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan warga guru yang bertugas akan segera bertindak segera berdasarkan peranan masing-masing.

"Jangkaan kami adalah kesan banjir tahun ini akan menjadi sama dengan tahun lalu, Insya-Allah dengan kapasiti sedia ada in kita mampu tangani walaupun masih berdepan dengan pandemik," jelasnya.

Antara dua lagi lokasi PPS tersebut adalah di SK Seberang Takir dan SK Tok Jembal.