• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tiga Sekawan Johan Explorace Terengganuku Comel 2021

KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Tiga sekawan muncul juara dalam acara Explorace Terengganuku Comel 2021, baru-baru ini.

Muhamad Muda, 52, bersama dua rakannya iaitu Bahri Chik, 54, dan Mohd Ikhwan Yusof, 36, menyertai acara berkenaan kerana minat mereka terhadap aktiviti seperti itu.

Kata mereka, ia sangat menarik kerana peserta didedahkan dengan keindahan yang terdapat di Terengganu, serta soalan-soalan disediakan pihak penganjur amat mencabar.

"Alhamdulillah rezeki pada kami, kita pun tidak menjangkakan meraih tempat pertama, ingatkan hanya akan tersenarai di antara 10 yang terbaik semata-mata, bersyukur kepada Allah.

"Setiap kali menyertai acara kami ada buat 'homework', 'study' dari segi bentuk soalan-soalan yang lepas, dari pengalaman yang lalu kami jadikan satu panduan untuk buat yang terbaik dimana selama 10 tahun setiap kali diadakan kami akan menyertainya. 

"Bagi kami peserta lain juga 'profesional hunter' cuma rezeki lebih menyebelahi kami. Kalau hendak dikutkan pening kepala juga hendak menjawab soalan, tambahan pula dalam keadaan musim sekarang beri halangan dari sudut untuk fokus pada pemanduan dalam masa yang sama hendak menjawab setiap soalan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, pada kejohanan Explorace Terengganu Comel 2021, selepas diumumkan juara pada Majlis Perasmian Penutup, di Muzium Negeri Terengganu, semalam.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razzab.

Program berkenaan dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama UBSNT dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Penyertaan terhad kepada 100 buah kenderaan atas dasar 'Siapa Cepat Dia Dapat' itu bermula Drawbridge kemudian meneruskan perjalanan ke Muzium Bukit Besi dan Muzium Negeri Terengganu menjadi lokasi penamat program berkenaan pada sebelah petang.

Dengan menawarkan hadiah di tempat pertama wang tunai sebanyak RM3,000, naib juara RM 2,000, tempat ketiga RM1,500, keempat RM800, manakala tempat kelima sehingga ke lapan RM200.

Dalam pada itu Wan Sukairi berkata, melihat kepada penyertaan yang memberangsangkan itu pihak negeri bersetuju untuk mengadakannya lagi pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai serta menawarkan hadiah lebih menarik memandangkan ia mendapat sambutan

sangat menggalakkan.

"Ini juga merupakan suatu inisiatif untuk memperkenalkan Terengganu kepada para peserta terutama mereka yang luar dari negeri ini mengenai keindahan dan keunikan yang terdapat di negeri ini, dari sudut makanan, budaya, tradiri, kesenian dan sebagainya," katanya mengulas

mengenai program yang diadakan itu.

Manakala, Mohd Nasir pula menyifatkan program tersebut agak kompetitif namun ia memberi impak yang sangat baik.

"Sekali gus program seumpama ini membolehkan setiap rakyat melakukan aktiviti bersama keluarga, sanak saudara, juga bersama rakan-rakan.

"Melalui program ini menghasilkan satu aura dan semangat baru untuk melakukan rutin harian termasuk di bidang pekerjaan dengan lebih bersemangat," ujarnya.