• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tiga Strategi Kekang COVID-19 Semasa Musim Banjir

KUALA TERENGGANU, 2 Disember – Kerajaan Negeri sedang mengambil tiga langkah proaktif bagi mengekang penularan wabak COVID-19 jika berlakunya bencana banjir di mana-mana kawasan dalam Terengganu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, di peringkat Pusat Pemindahan Sementara (PPS), pihaknya telah mencadangkan agar semua daerah menyediakan satu bilik isolasi bagi mangsa banjir bergejala.

“Ini bagi memastikan mereka yang disyaki dijangkiti COVID-19 dikuarantinkan, jika didapati kategori kritikal, maka mereka akan dipindahkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Selain itu, saya juga sarankan semua daerah agar menyediakan sebuah hospital sementara bagi kes-kes virus tersebut bagi penempatan mangsa positif.

“Contohnya jika dipindahkan ke sebuah sekolah ia boleh dijadikan sebagai pusat rawatan sementara,” katanya selepas majlis bersama media di Hotel Sumai, petang semalam.

Tambahnya, Prosedur Operasi Standard (SOP) di PPS juga akan dikemaskini dan ditambahbaik sejak ia dilaksanakan pada tahun lepas.

“Antaranya seperti pengamalan penjarakkan sosial, dahulunya mungkin masa ditempatkan dalam bilik kecil, sekarang ini kita perbesarkan.

"Manakala bagi mereka yang telah divaksin penuh atau tidak pernah menerima dos suntikan, kita masih memperhalusinya.

“Saya dapati tahun lepas di Kemaman, pematuhan SOP amat memuaskan dengan pengambilan suhu serta mangsa yang demam akan dikuarantin,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.