• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tiga Syarikat Bangun Industri Solar Di Terengganu


 
"EPIC telah membangunkan Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 18.5 MW di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman sekali gus menjadi loji janakuasa solar terbesar beroperasi di negara ini sekarang." - Dr Ahmad Samsuri
KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Kerajaan Negeri menggalakkan pembukaan stesen janakuasa baharu berasaskan solar di seluruh negeri dengan membabitkan tiga buah syarikat bagi pembangunan hijau di negeri Terengganu.

Syarikat-syarikat tersebut termasuk Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Bhd, Synergy Generated Sdn Bhd dan Metrosphere Sdn Bhd.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi pembangunan hijau, kerajaan negeri menggalakkan pembukaan stesen janakuasa baharu berasaskan solar di seluruh negeri.

"Beberapa tapak solar telah pun beroperasi di negeri ini dan anak syarikat kerajaan negeri sendiri telah pun membuka stesen janakuasa solar berkapasiti 18 Mega Watt (MW) di Kemaman.

"Selain daripada itu, kawasan perindustrian baharu bertemakan hijau juga diwujudkan di 'Terengganu Silica Valley' (TSV) yang akan menempatkan industri-industri berasaskan silika," jelasnya.

Katanya, kawasan industri ini akan menempatkan pemain-pemain utama produk berasaskan silika dan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dalam Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini baru-baru ini.

ADUN itu dalam soalannya ingin tahu bagaimana kerajaan merancang dan menggalakkan pembangunan dan pertumbuhan pembangunan yang berasaskan Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0) dan Pembangunan Teknologi Hijau.

Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, EPIC sebagai anak syarikat kerajaan negeri telah membangunkan Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 18.5 MW di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman sekali gus menjadi loji janakuasa solar terbesar beroperasi di negara ini sekarang.

"Projek bernilai kira-kira RM86 juta membabitkan tapak seluas kira-kira 28.3 hektar itu, telah beroperasi sejak 14 Januari lalu telah berjaya menghasilkan tenaga solar berkapasiti 18.5 MW.

"Kejayaan EPIC Bhd mengeluarkan tenaga elektrik melalui teknologi kuasa solar itu adalah sebahagian daripada usaha serius kerajaan negeri untuk mencuba pelbagai kaedah baru bagi mempelbagaikan sumber pendapatan termasuk menjimatkan perbelanjaan negeri," jelasnya.

Menurut beliau, Syarikat Synergy Generated Sdn Bhd telah menjalankan projek ladang solar pertama di Terengganu dengan kapasiti penjanaan sebanyak 5 MW, dibina di atas tanah seluas kira-kira 20 ekar di Kawasan Perindustrian Bari, Setiu, bermula tahun 2012.

Syarikat ini katanya, telah mendapat kelulusan pada bulan Mei lalu untuk membangunkan kawasan kedua di Kawasan Perindustrian Batu Rakit, Setiu dengan keluasan tanah 16.62 ekar dengan kapasiti penjanaan solar 5 MW.

Komponen Solar beroperasi di Teluk Kalong Kemaman.

"Projek kedua ini adalah projek kerjasama dengan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM)," kata Dr Ahmad Samsuri.

Synergy Generated Sdn Bhd telah diperbadankan pada 14 Oktober 2010 dengan tujuan penubuhannya adalah untuk memenuhi keperluan tenaga boleh diperbaharui seluruh Malaysia.

Syarikat ini katanya, mempunyai kemahiran tenaga kerja dan pengurusan dalam bidang teknologi 'photovoltaic', 'power transmission' dan 'distribution'.

Sementara itu Metrosphere Sdn Bhd adalah sebuah syarikat pegangan yang bergiat dalam bidang pelaburan termasuk pembangunan pelabuhan, operasi kemudahan pelabuhan, pengurusan armada kapal, kapal sokongan luar pesisir dan bunker bahan api.

"Syarikat ini telah diluluskan untuk membuat pembangunan Mini Hidro berkapasiti 4 MW di Sungai tersat, Hulu Terengganu. Projek ini dijangka beroperasi pada pertengahan tahun 2019," jelas beliau  lagi.

Kerajaan juga katanya, dalam perancangan membina bangunan hijau (Green Building).

Projek ini telah diperkenalkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) yang dulu dikenali sebagai KETTHA.

Menurut beliau bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu merupakan satu-satunya bangunan yang akan dijadikan contoh untuk menjalankan 'projek retrofit', di mana penggunaan lampu-lampu hari ini akan ditukar kepada lampu LED dan penggunaan aircond akan dijimatkan dengan penggunaan 'Chiller Optimization'.

Katanya, kerajaan negeri kini dalam perancangan untuk menjadikan amalan hijau ini selari dengan pembangunan negeri.

"Usaha-usaha ini akan dirancang dengan kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi kerajaan negeri yang lain," ujarnya.

Tag: