• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tiga Tan Bahan Buangan Elektronik Dikumpulkan

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Sebanyak tiga tan bahan buangan elektrik dan elektronik (E-waste) telah berjaya dikumpulkan bagi tujuan pelupusan sempena Minggu Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, program tersebut telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang awam terutamanya yang berada di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

”Acara ini dianjurkan bertujuan menggalakkan semua lapisan masyarakat di negeri ini menguruskan buangan E-Waste ini mengikut kaedah yang betul dan selamat.

”Orang ramai yang datang secara pandu lalu bagi menyumbangkan bahan buangan elektrik dan elektronik boleh menukar bahan buangan dengan wang tunai mengikut harga yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program tersebut di di Taman Rekreasi Pantai Batu Buruk, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal itu turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu, rakan-rakan strategik yang terdiri daripada PETRONAS, Syarikat KT Wan Recycle Sdn.Bhd dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha-usaha kelestarian alam sekitar berkenaan.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di semua daerah ke arah menyediakan kemudahan tempat pelupusan E-Waste.

Katanya, sehingga kini, JAS mengambil inisiatif melesenkan beberapa syarikat yang bertanggungjawab mengumpul dan seterusnya menguruskan proses kitar semula.