• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Tindakan Undang-undang Jika Salah Guna Imej OKU Untuk Kutip Derma



Sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap imej Orang Kelainan Upaya(OKU) dengan menggunakannya di laman sesawang bagi mengutip derma harus dihentikan segera sebelum tindakan undang-undang diambil.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Jailani Johari berkata,
setiap orang mesti ada perasaan tanggungjawab dan  tidak mengambil kesempatan atas kekurangan orang lain demi sesuatu kepentingan.

Jelasnya lagi, ini berikutan terdapat beberapa laman sesawang yang menggunakan imej OKU dengan tujuan meraih simpati dan derma daripada orang ramai bagi meringankan beban mangsa.

"Dengan perbuatan itu, secara tidak langsung akan menyebabkan orang ramai keliru dan menghulurkan bantuan tanpa menyedari kutipan itu dibenarkan atau sengaja diadakan.

"Kita harap mana-mana pihak yang cuba memanipulasikan atau mengadakan cerita yang tidak tahu akan kesahihannya, perlu hentikannya dengan segera.Sekiranya masih berterusan, tindakan penguatkuasaan akan diambil berasaskan undang-undang yang ada,"kata Jailani.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka  Parlimen Hulu Terengganu di Dataran Kuala Berang hari ini.

Jailani juga berharap pihak berwajib sama ada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)atau pihak tertentu akan menyiasat perkara ini dan SKMM sedia membantu sekiranya diperlukan.

Sementara itu, Majlis Rumah Terbuka Parlimen Hulu Terengganu di banjiri orang ramai sejak jam 10 pagi hingga jam 3 petang .

Katanya, lebih 10,000 dianggarkan  hadir pada hari ini dan saya rasa teruja dengan sambutan dan sokongan yang diberikan oleh masyarakat di sini.

"Pada kali ini juadah yang disediakan melebihi 20 jenis dan pengunjung turut dihiburkan dengan artis tempatan seperti Shamel, Azian Mazwan Sapuan, Pentarama dan Dendang Anak,"katanya lagi.

Tag: