• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TLHT-MSNT Gagal Jelma Kebangkitan

KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Jaringan Fazila Sylvester Silin menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-46 gagal menyuntik semangat Pasukan Hoki 
Wanita Terengganu (TLHT-MSNT) untuk bangkit mengutip mata apabila tewas 1-2  kepada Young Tigress dalam aksi Liga Hoki Wanita Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, semalam.

Bermain di laman sendiri, gandingan pemain muda dan berpengalaman TLHT-MSNT mempamerkan aksi kurang meyakinkan menentang skuad projek remaja kebangsaan itu.

Pelawat turut mengejutkan tuan rumah dengan mendahului menerusi pukulan ‘reverse’ Siti Nur Irdina Mohd. Nor pada minit ketujuh.

Ypung Tigress semakin garang selepas pemain kebangsaan, Khairunnisa Ayuni Mohd. Sharuddin meledak gol kedua pelawat hasil percaturan bijak dalam pukulan sudut penalti.

Memasuki babak kedua, TLHT-MSNT berjaya mengurangkan tekanan untuk bangkit dengan gol pukulan sudut penalti Fazila untuk merapatkan kedudukan kepada 1-2.

Bagaimanapun, kebangkitan yang cuba dijelmakan tuan rumah dibayangi kecemerlangan penjaga gol pelawat, Fitrinur Amiera Ramlee.

Kekalahan 2-1 itu meleburkan hasrat anak-anak buah Mohd Shahrun Nabil Abdullah untuk mengekalkan kedudukan teratas Liga Hoki Wanita Malaysia.

 

 

 


Tag: