• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

T'Mart Tidak Asing Di Ibu Kota Kuala Lumpur

Haji Yahaya Ali (tiga dari kiri) dan Haji Hishamudin Hashim (dua dari kiri) menunjukkan produk tempatan Terengganu yang boleh didapati di T'Mart DC.
KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Premis perniagaan T'Mart DC milik Kerajaan Negeri Terengganu sudah tidak asing di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur sejak beroperasi pada tahun 2016.

Pegawai Pemasaran T'Mart DC, Johari berkata, premis tersebut yang bertempat di Wisma Yayasan Terengganu, Kampung Baru, Kuala Lumpur diselia oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) negeri.

"T'Mart sudah beroperasi bermula 1 Mei 2016 menerusi dua segmen.

"Segmen pertama adalah pasar mini harga patut dan yang kedua adalah pusat pemasaran produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari Terengganu.

"Kami menawarkan barangan harga patut dan rendah setiap masa.

"Banyak produk asli dari Terengganu yang boleh didapati di sini termasuk Nasi Dagang T-Kitchen, satar ikan goreng, kuih ropa, keropok lekor, ketupat palas dan sebagainya.

"Kebanyakan produk yang dijual merupakan produk sejuk beku untuk mengekalkan kesegaran dan keaslian serta selamat untuk dimakan," ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu tinjauan ke premis berkenaan di Wisma Yayasan Terengganu, Kampung Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini (6 Oktober).

Dalam pada itu, menurut Johari, sambutan yang diterima oleh orang ramai sangat memberangsangkan.

"Bukan sahaja orang Terengganu yang merantau datang ke sini, bahkan orang tempatan juga sukakan makanan Terengganu yang boleh didapati di T'Mart ini," katanya.

Tambahnya, produk yang diambil kebanyakannya dari usahawan Kemaman dan Dungun dan pihak pengurusan Cakna bertanggungjawab menguruskan penghantaran langsung ke Kampung Baru.

Selain itu, pemasaran yang dilakukan adalah menerusi 'online marketing'.

"Anak Terengganu yang tahu tentang premis ini selalunya akan datang.

"Kami juga pasarkan produk melalui 'facebook' dan 'instagram' T'Mart DC," jelasnya.

Justeru, katanya, beliau sangat berterima kasih dengan kerajaan negeri yang menyokong usahawan Terengganu dalam memasarkan produk-produk ke luar Negeri Terengganu.


"Saya sangat berterima kasih dan berharap agar kami mampu meningkatkan jualan.

"Tambahan pula, Lembah Klang ini sangat besar.

"Biar semua orang dapat rasa makanan Terengganu yang sedap dan unik.

"Saya juga berharap dapat mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu untuk memperkenalkan negeri kepada pelancong dan orang tempatan di Lembah Klang khususnya," ujarnya. 


Tag: