• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

TMBS Bukti Kejayaan Kerajaan Terengganu

DUNGUN, 2 Mac – Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (KTMBS) merupakan ruang terbaik bagi kerajaan negeri untuk memaklumkan kepada rakyat tentang kejayaan negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mengenai kejayaan pelaksanaan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri dari pelbagai sudut mahupun permasalahan sepanjang tempoh empat tahun mentadbir negeri ini.

Katanya, inisiatif ini juga merupakan medan bagi mengeratkan lagi hubungan pemimpin dengan rakyat.

“Di samping, medan mendidik, menyampaikan ilmu dan tempat aduan permasalahan yang dihadapi kepada agensi yang berkaitan.

“Sekali gus, memberi ruang bagi rakyat berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti bersama,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Merasmikan Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) DUN Sura bertempat di Dewan Arena Merdeka, Dungun di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.

Tambah Dr Samsuri, melalui interaksi bertemu mata, maka timbullah rasa kasih dan sayang sesama kita.

“Slogan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’ bukanlah sekadar sebutan di mulut sahaja melainkan satu ikhtiar dan komitmen untuk masa depan yang baik, bukan sahaja di dunia bahkan akhirat jua," katanya.

Mengulas lanjut mengenai program, karnival TMBS peringkat Dun Sura itu yang telah diadakan bermula dari 2 hingga 4 Mac 2023 menerima penyertaan melebihi 5,000 orang.

Beliau berharap, program sebegini dapat memberi manfaat kepada orang ramai serta pelbagai hadiah dan cabutan bertuah disediakan kepada pengunjung yang hadir.

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: