• 16 Mei 2024 | 8 Zulkaedah 1445

TNB Jamin Empangan Kenyir Selamat

Empangan Kenyir.
HULU TERENGGANU, 8 November - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bahawa keselamatan Empangan Kenyir sentiasa berada dalam keadaan memuaskan dan selamat melalui pemeriksaan berkala pada empangan berkenaan.

Pengurus Besar Stesen Janalektrik Sultan Mahmud Kenyir, Mustapha Kamal Yaacob berkata pihaknya melakukan pemeriksaan yang ketat secara mingguan, bulanan dan tahunan yang dilakukan oleh pakar  khas dari ibu pejabat.

"Dan setiap sepuluh tahun, kita juga akan bawa pakar dari luar negara untuk membuat pemeriksaan rapi ke atas struktur empangan ini.

"Kita ada alat khas yang boleh mengukur ketidakstabilan empangan dari segi gegaran termasuk isipadu air dan sejak ia beroperasi pada 1986, tidak ada perkara buruk yang pernah berlaku,"katanya.

Mustapha Kamal berkata kepada pemberita di sidang media selepas Program Keselamatan Empangan "Latih Amal Tindakbalas Kecemasan" Penduduk Mukim Jenagor & Kuala Berang di Dewan Majlis Daerah Kuala Berang, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Mohd Zalizan Sulong.

Pengurus Besar Stesen Janalektrik Sultan Mahmud Kenyir, Mustapha Kamal Yaacob.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan empangan retak yang menjadi viral di kalangan penduduk sehingga menimbulkan rasa panik tentang tahap keselamatan mereka.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih bagi mengelakkan tercetusnya keadaan panik yang akan memburukkan lagi keadaan.

"Dakwaan ini tidak benar kerana kami buat pemeriksaan yang mampu mengesan jika ia berlaku kerana TNB sentiasa memberi penekanan terhadap aspek keselamatan semua pihak," ujarnya lagi.

Mustapha Kamal turut menasihatkan netizen supaya menghubungi TNB Careline (15454) atau mana-mana media sosial TNB termasuk 'facebook' dan 'instagram' bagi mendapatkan maklumat tepat atau ingin membuat laporan.

Sementara itu, beliau turut menegaskan tidak berlaku pelepasan air dari empangan kerana air hanya akan mengalir keluar melalui turbin hidrolektrik jika paras air melebihi paras alur limpah.

"Rekod tertinggi paras air sejak ia dibuka ialah pada 2014 iaitu 148 meter (m) ketika berlaku banjir besar namun empangan masih terkawal.

"Paras amaran air empangan adalah 150m dan mencapai paras bahaya jika 153m namun sehingga hari ini, pelepasan air secara terkawal telah dijalankan dan ini mengikut prosedur yang sedia ada memastikan operasi empangan berada di tahap normal dan selamat," katanya.





Tag: